Tuesday, May 26, 2009

Tanda-Tanda Allah SWT Ingin Membinasakan Suatu Kaum


Allah SWT menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia. Dia telah menyatakan secara jelas apakah perkara-perkara yang diredhai dan apakah perkara-perkara yang dimurkai. Oleh itu, para Rasul telah diutuskan kepada manusia. Jadi, tiada alasan bagi manusia untuk menyalahkan Allah SWT atau Rasul-Nya kerana segala petunjuk telah dijelaskan. Manusia sendiri yang bersalah kerana mereka menolak petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya atau tidak mengendahkan petunjuk Al-Quran dan Sunnah.

Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran bagaimanakah caranya Dia membinasakan suatu negeri. Firman Allah SWT:

[17.16] Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.

Dalam pentafsiran ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawasanya orang yang berpengaruh dalam masyarakat sama ada pemimpin atau pun orang yang dilimpahi dengan nikmat dunia akan melakukan kefasikan, kemaksiatan, kekufuran dan keluar daripada mentaati Allah SWT, maka dengan sebab-sebab ini mereka berhak untuk mendapat azab Allah SWT. Lalu Allah SWT menghancurkan sebuah negeri tersebut.

Perlu diingat, azab Allah tidak hanya berlaku kepada orang yang membuat maksiat sahaja, tetapi ia akan melibatkan semua secara umum. Firman Allah SWT:

[8.25] Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP