Monday, May 18, 2009

Nasihat Syeikh Az-Zindani


Nasihat Kepada Pemerintah

Hendaklah kamu beriltizam dengan syariat Allah SWT dan dirikanlah Islam dalam sistem dan perundangan. Berikanlah wala' (pertolongan dan kasih sayang) kepada Allah, rasul dan orang-orang beriman. Tegakkanlah keadilan dan kebenaran. Kaji semula sistem pendidikan, tarbiah dan penerangan supaya bertepatan dengan syariat Allah dan menyampaikan amanah. Setiap umat mempunyai risalah dan risalah kita adalah iman dan islam. Menjadi kewajipan media massa dan sistem pendidikan memikul risalah ini dan setiap penduduk suatu tempat hendaklah memperbaiki kekurangan berdasarkan kondisi mereka.

Bentangkanlah jambatan-jambatan kepercayaan di antara kamu dan pendakwah-pendakwah serta ulama lantas masyarakat kesemuanya akan menjadi stabil. Jauhilah komplot-komplot yang melibatkan kamu dalam mewujudkan pertembungan di antara kerajaan dan rakyat serta pemimpin dan ulama.


Nasihat Kepada Ulama Islam

Dirikanlah tanggungjawab dan kewajipan yang dibebankan ke atas bahu kamu. Kamu akan dipersoalkan tentangnya di hari kiamat. Ajarkanlah kepada manusia agama mereka. Hadapkan mereka kepada jalan yang baik. Terangkan kepada mereka perkara kebenaran dan jangan sekali-kali menyembunyikannya. Wajibkanlah atas diri kamu cara berhikmah, sentiasa saling berpesan di antara kamu serta bermuafakat. Jauhkanlah daripada pertikaian, satukan pendapat-pendapat dan saf-saf kamu. Menjadi kewajipan kepada ulama untuk bangkit membela kepentingan ummah dan hendaklah mereka suka hanya kerana Allah dan marah dalam setiap perkara yang Allah murka. Mereka hendaklah menjadi contoh ikutan yang baik di saf hadapan menebus akidah dan ilmu mereka dengan harta dan nyawa untuk mencari redha Allah SWT. Janganlah kamu kedekut untuk memberi nasihat kepada pemerintah dan masyarakat umum pada setiap masa. Jangan kamu teragak-agak di dalam menyatakan kebenaran dan janganlah fitnah-fitnah dan kesukaran-kesukaran mengecualikan kamu daripada menunaikan amanah.

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP